Pada kali ini marilah kita renungkan
6 soalan yang dibincangkan oleh Imam Ghazali dengan murid-muridnya. Walaupun
nampak mudah tetapi sebenarnya amat besar peranan dan kesan dalam hidup kita di
dunia apatah lagi sewaktu kita berjumpa Allah nanti. Mari kita bincangkan dalam
konteks kehidupan pada hari ini semoga kita dapat manfaatnya.
Soalan-soalan tersebut ialah
1. Apakah benda yang paling dekat ?
2. Apakah benda yang paling jauh ?
3. Apakah perkara yang paling besar?
4. Apakah perkara yang paling berat?
5. Apakah benda yang paling ringan?
dan
6. Apakah yang paling tajam?
Saya percaya hampir semua orang
Islam tahu menjawab soalan-soalan tersebut tetapi apalah salahnya diulang
semula kerana kita tidak dapat lari dari penyakit lalai dan lupa, dan
adakalanya kita tersilap memberi keutamaan.
1. Benda yang dekat ialah mati.
Sesuai dengan umur dunia yang sudah semakin tua, kita pun tidak tahu bila
masanya kita akan mati. Mati tidak sahaja menimpa orang yang sakit, tetapi juga
mereka yang tidak pernah sakit, baik tua baik muda baik kanak-kanak atau siapa
sahaja.
Mati di sini juga boleh membawa
maksud sakit di mana kita tidak mampu buat apa-apa lagi dalam menguruskan diri
kita sama seperti orang yang telah mati hanya berharap diuruskan oleh orang
lain yang hidup dan sihat. Oleh itu sebelum kita tidak dapat menguruskan diri
baiklah kita bersiap sedia apa-apa yang perlu.
Kita perlu pastikan semua yang kita
buat ada hubungkaitnya dengan beribadat kepada Allah. Disamping menikmati hasil
keduniaan kita juga akan dapat ganjaran pahala sebagai bekalan yang kekal,
Insyaallah.
Saidina Umar Al-Khattab r.a. pernah
mengingatkan kita , “ Hisablah (hitunglah) diri kamu sebelum kamu
dihisab(dihitung ) dihadapan Allah di akhirat nanti.”
Mati adalah satu perkara yang sangat
menggerunkan dan untuk meringankan azab sakratulmaut, disamping menunaikan
ibadat-ibadat wajib, banyakkanlah beristighfar, berzikir dan bertahmid memuji
keagungan dan kebesaran Allah, serta sentiasa meminta belas-ihsan panduan Allah
terhadap apa jua yang kita lakukan. Di samping itu banyakkanlah berselawat atas
Rasul Junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. mudah-mudahan dengan syafaat baginda
kita diringankan bebanan terutama di dalam kubur.
Sesungguhnya Allah dan para
malaikatnya sentiasa berselawat ke atas rasulnya, dan dalam sebuah hadis ada
diriwayatkan sabda Rasulullah bahawa setiap selawat yang kita ucapkan ke atas
rasul akan dibalas dengan 10 kali selawat oleh Allah ke atas kita.
Rasulullah pernah mengingatkan
isterinya Saidatina Aishah r.a. dalam sebuah hadis yang bermaksud “Jangan kamu
tidur sebelum kamu melaksanakan empat perkara, membaca Al-Quran sampai khatam
(membaca surah Al-Ikhlas 3 kali), berselawat keatas Rasulmu, berdoa memohon
keampunan untuk seluruh umat Islam, dan beristigfar, berzikir, bertahmid memuji
kebesaran Allah Subhanahuwataala.”
Hadis yang ringkas ini bukannya
susah pun untuk dilaksanakan jika kita jadikan amalan setiap malam sebelum
tidur. Kalaulah terus tertidur tak bangun-bangun keesokan paginya, Insyaallah
mati kita adalah dalam iman.
Kalau mampu buatlah solat sunat
taubat setiap malam sebelum tidur, meminta keampunan atas segala kesalahan yang
kita lakukan, dengan perasaan yang amat benci terhadap kelakuan kita tesebut
dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi.
2. Benda yang paling jauh ialah masa
yang telah lalu. Masa yang telah lalu sudah menjadi sejarah dan tidak ada
apa-apa yang kita ubah lagi. Oleh itu dengan kesempatan yang masih ada
lakukanlah sesuatu yang baik, atau ubahlah sesuatu yang kurang baik kepada
perkara yang lebih baik.
Contoh paling nyata ialah sewaktu
anak-anak masih kecil, asuhlah mereka supaya hormati orang-orang tua. Atau pun
jangan berhenti menyuruh mereka solat bila sampai waktunya. Dengan sendirinya
perkara-perkara baik sebegini akan jadi tabiat yang berguna dan Insyaallah akan
kekal sehingga mereka meningkat dewasa.
Mungkin ada anak-anak kita yang
sedikit degil tetapi janganlah hendaknya kita berputus asa. Anak-anak kecil
belum tahu apa-apa, ibubapalah pembentuk mereka.
Sedikit sahaja kelalaian dipihak
kita kesannya cukup besar bila mereka dewasa nanti
Kalau kita ada kuasa untuk mengubah
sesuatu kepada yang lebih baik, maka ubahlah sewaktu kita ada kuasa, jangan
tunggu sehingga kuasa sudah hilang baru kita teringat. Kadang-kadang kita tidak
tahu kita ada kuasa sehingga kuasa itu hilang dari genggaman kita.
3. Perkara dan musuh yang paling
besar pula ialah nafsu ?
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud,
“Tidak beriman seseorang itu sehingga dia boleh menjinakkan nafsu supaya
mengikut kata imannya. “
Kehendak nafsu sentiasa berlawanan
dengan kehendak atau dorongan iman. Setiap orang Islam mesti berusaha untuk
mengawal nafsunya, baik nafsu makan, nafsu syahwat, nafsu bekerja, nafsu
berhibur, nafsu mencari harta, nafsu berpakaian, nafsu berkata-kata, nafsu
untuk berkuasa, nafsu menghias rumah, nafsu suka dipuji, nafsu bermegah-megah
dan sebagainya.
Antara contoh-contoh bagaimana nafsu
berusaha untuk mengawal dan mempengaruhi kita ialah, bila terdengar azan untuk
solat, nafsu akan memujuk, biarlah ! lambat lagi, apa nak kejar, kalau kita
hendak menolong seseorang, nafsu akan mengatakan, buat apa nak tolong, ramai
lagi orang lain boleh menolong; nak bersedekah dengan wang yang sedikit sedang
itu sahaja yang kita mampu,
nafsu akan mengatakan, sedikit boleh
jadi apa, tunggulah lain kali sahaja, tentu lebih banyak dapat disediakan, nak
mula mendekati mesjid selalu, nafsu akan memujuk dengan mengatakan apa nak
susah, umur masih muda, di rumah pun boleh solat, tua nanti buatlah lagi senang
dah kurang tanggungjawab kerana anak-anak dah besar dan macam-macam lagi.
Sangat ramai orang yang tewas kerana nafsu.
Dalam bulan Ramadan ini berjayakah
kita melawan nafsu makan, mampukah kita mengurangkan belanja dapur berbanding
dengan bulan-bulan sebelum ini ?
Nafsu juga boleh menyebabkan kita
jadi bakhil. Kita selalu keberatan untuk berderma atau bersedekah sebab takut
miskin sedangkan kaya miskin adalah anugerah dan ketentuan Allah. Allah boleh
bagi atau tarik balik sebarang rezeki yang Dia bagi kepada kita..
4. Perkara yang paling berat adalah
memegang amanah.
Sejauh mana kita menjalankan
tanggungjawab kita memegang amanah. Adakalanya tanggungjawab itu datang sendiri
secara mengejut seperti bila ibu atau bapa meninggal dunia, atau bila ketua
pejabat bertukar sementara datangnya pengganti. Adakalanya tanggungjawab datang
kerana kita memintanya melalui pertandingan atau pun ditawarkan.
Di mana sahaja setiap seorang dari
kita mesti ada memikul amanah sekurang-kurangnya terhadap diri sendiri dan
keluarga.
Seorang majikan atau ketua tempat
bekerja memikul amanah bagaimana menjaga kebajikan dan pengurusan tempat kerja
tersebut supaya teratur, tanpa penyelewengan, sentiasa ceria dan berdaya maju.
Seorang pemimpin negara atau parti
atau persatuan mesti menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah. Tidak boleh
pecah amanah menyalahgunakan apa-apa yang bukan hak kita untuk diri sendiri.
Khalifah Umar Abd Aziz r.a. menunjukkan contoh yang baik iaitu jika urusan
keluarga maka dia akan menggunakan lilin khas untuk urusan keluarga dan bukan
menggunakan lilin yang dikhaskan untuk urusan negara.
Pecah amanah juga boleh berlaku jika
kita menyerahkan apa-apa jawatan kepada orang yang kita sukai atau rapat dengan
kita tetapi dia tidak layak atau yang belum sampai masanya untuk memegang
jawatan tersebut sedangkan ada orang lain yang lebih layak kepada jawatan itu.
Kesan pecah amanah amat besar bukan
sahaja kepada individu tetapi mungkin kepada anak-anak dan keluarga. Sekiranya
melibatkan wang maka apa yang pasti ialah makanan yang dibeli dengan wang haram
itu seumpama memasukkan api neraka ke dalam mulut kita dan anak-anak kita.
Pernah kita mendengar orang-orang
mengatakan, “Aku gunakan wang itu bukan untuk makanan tetapi benda-benda lain
yang tak akan jadi darah daging aku dan keluarga aku” Betulkah ?
Jika dengan wang haram itu dibelikan
barang-barang keperluan, maka wang asal yang disediakan untuk membeli
barang-barang itu sudah bukan hak kita lagi, sesungguhnya semua wang dari
sumber tidak halal, akan tetap haram.
Kita janganlah lupa terhadap cerita
bagaimana seorang pekerja yang baik tetap disiksa Allah kerana mengambil
sedikit sahaja carikan kayu dari tempat kerjanya tanpa kebenaran tuannya untuk
membersihkan giginya. Sesungguhnya Allah Maha Melihat lagi Maha Mengetahui apa
yang kita kerjakan.
“Dan janganlah kamu makan iaitu
mengambil harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah , dan
jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim
kerana hendak memakan (iaitu mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan
(berbuat) dosa padahal kamu mengetahui (salahnya). Al-Baqarah 188
Memang amat berat kalau terpaksa
memikul amanah sedangkan ramai dari kita tidak mampu untuk memikulnya. Kalau
boleh, elakkanlah secara sengaja mencari sebarang beban sedangkan kita tahu
kita adalah lemah dan tidak mampu untuk melaksanakannya.
“ Sesungguhnya orang-orang yang
memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah
menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api
neraka yang menyala-nyala” An-Nisaa 10
Sebagai contoh; Sekiranya ada antara
kita (sama ada lelaki atau perempuan) yang diamanahkan menjaga harta peninggalan
ibu bapa yang dulunya kita jaga sewaktu adik-adik masih kecil, dan kini mereka
telah dewasa, maka pulangkanlah (serahkan) semula jika masih ada kepada
adik-adik kerana itu bukan hak kita lagi.
Janganlah pula dijadikan hak kekal
dan diberikan pula kepada anak-anak dengan perasaan takut miskin kerana rezeki
itu adalah hak Allah, kita hanya pemegang amanah sahaja. Harta-harta rampasan
seperti inilah yang akan merenggangkan silaturrahim dan menyusutkan segala
keberkatan amalan yang kita lakukan.
Seiring dengan ketibaan Hariraya tak
lama lagi, para ustaz juga selalu mengingatkan kita, janganlah pula kerana
hendak menyambut Hari Raya kita menambah hutang jika tidak perlu, atau menambah
dosa dengan menyalahgunakan harta atau apa-apa yang bukan hak kita walaupun
sementara dengan tujuan lepas raya dipulangkan atau bila ada wang akan diganti
semula.
Ingatlah bagaimana cerita Saidina
Umar Al-Khattab r.a. diperingatkan oleh pegawai kewangannya supaya tidak
menggunakan kemudahan perbendaharaan Islam walaupun ketika itu khalifah dalam
kesempitan. Sesungguhnya mati itu sangat hampir dan kita semua tidak tahu
setakat mana umur kita.
Sama-samalah kita menjaga semua
amanah sebaik mungkin, Insyaallah kita akan selamat.
5. Yang paling ringan ialah
meninggalkan solat:
“ Sesungguhnya sembahyang itu adalah
satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman yang ditentukan
waktunya” An-Nisaa’ 103
Sebagai tanda beriman semua orang
Islam mesti melaksanakan Rukun Islam yang kedua iaitu sembahyang(solat) pada
waktunya. Tidak ada alasan untuk melambat atau meninggalkan solat..
Imam Ghazali mengatakan solatlah
yang paling diambil mudah untuk ditinggalkan oleh orang Islam.
“ Dan mintalah pertolongan (kepada
Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu
amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang
percaya dengan yaqin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka
akan kembali kepadaNya “ Al-Baqarah 45-46
Terlalu banyak alasan yang selalu
digunakan oleh orang Islam yang tidak kuat imannya, seperti pakaian kotor,
(adakah pakaian kotor itu najis atau tidak najis); masa masih ada lagi
(yaqinkah selepas itu kita akan kelapangan dan ada masa ); mesjid dan surau tak
ada (solat itu di masjid dan surau sajakah );
telekung tak bawa (wajibkah
bertelukung, apa kah pakaian kita tidak menutup aurat); sejadah tak ada
(perlukah sejadah)?. Saya pernah melihat warga kita di luar negara, tepi jalan,
tepi perhentian bas, di stesen keretapi, dalam supermarket pun (dalam tempat
uji pakaian ) boleh solat. Sesungguhnya bumi Allah ini luas dan bersih kecuali
disempitkan dan dikotorkan oleh manusia.
Meringankan solat juga boleh
bermaksud meringankan kesempurnaan solat seperti, tidak berjemaah, kalau
berjemaaah , saf tidak lurus, masuk saf lambat, jemaah tidak rapat satu sama
lain, tidak mahu berganjak kalau ada lompang setelah ada makmum yang keluar
saf, pentingkan diri dengan mengejar kipas dan alat hawa dingin, bersuara kuat
hingga ganggu orang di sebelah, atau tidak berwuduk dengan sempurna, dan
lain-lain lagi.
Rasulullah mengingatkan kita bahawa
amalan solatlah yang akan dinilai dahulu sebelum Allah menilai ibadat yang
lain, secara tidak langsung kalau gagal penilaian solat, amalan yang lain akan
sia-sia sahaja.
Orang yang gagal dalam penilaian
solat atau solatnya tidak diterima, atau yang tidak bersolat, tempat mereka
adalah dalam neraka Saqar. Penghuni neraka Saqar dibakar sehingga hangus dan
kemudian dipulihkan semula kulit-kulit mereka dan dibakar semula, begitulah
seterusnya dan mereka kekal di dalamnya.
“Tentang (tempat tinggal) orang yang
bersalah, “ Al-Muddaththir 41
Setelah melihat orang-orang yang
bersalah itu, mereka (ahli syurga bertanya); “Apakah yang menyebabkan kamu masuk
ke dalam (neraka ) Saqar ? ” Al-Muddaththir 42
“Orang-orang yang bersalah itu
menjawab; “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan
sembahyang (solat); “ Al-Muddaththir 43
“Dan kami tidak pernah memberi makan
orang-orang miskin;” Al-Muddaththir 44
“Dan kami dahulu selalu mengambil
bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang
memperkatakannya; “ Al-Muddaththir 45
“Dan kami sentiasa mendustakan hari
pembalasnan” Al-Muddaththir 46
Marilah sama-sama kita terus
berusaha memperbaiki solat kita kerana solat adalah tiang agama.
6. Yang paling tajam ialah lidah
Tidak ada senjata yang paling tajam
selain daripada lidah.
Lidah (keupayaan berkata-kata) perlu
digunakan untuk kebaikan dan janganlah pula digunakan untuk keburukan.
Jika percakapan yang disampaikan
berupa provokasi atau pun fitnah, pengajaran yang terpesong, atau arahan yang
zalim dan kejam, kesan atau akibatnya amat serius boleh mendatangkan kesan
buruk satu atau beberapa generasi yang tidak boleh diperbaiki lagi sampai
bila-bila. Memang mudah untuk memohon maaf atas sebarang ketelanjuran
kata-kata, tetapi bagaimana pula kesan emosi, atau kesan jangka panjang ke atas
individu, atau keluarga yang menjadi mangsa, sudah pasti amat sukar untuk
disembuhkan.
“ Fitnah itu lebih buruk(dahsyat)
daripada membunuh”
Orang Islam tidak akan lupa
bagaimana rumahtangga Rasulullah bergoncang akibat fitnah yang ditujukan ke
atas Saidatina Aishah r.a. isteri baginda sehingga Allah menurunkan wahyu
menerangkan kebenaran dan menjernihkan suasana.
Oleh itu untuk tidak dimurkai Allah,
dalam pergaulan sehari-hari, jangan amalkan sifat munafik dan jauhkan diri dari
mereka yang bersifat demikian iaitu; kalau berjanji dia mungkir janji, kalau
bercakap dia dusta dan kalau diberi amanah dia akan pecah amanah.
Sebaliknya lidah (yakni keupayaan
berkata-kata) hendaklah digunakan untuk menyampaikan ilmu yang berguna, memberi
nasihat atau mengajar dan membaca Al-Quran dan sebagainya. Ia bukan sahaja
berfaedah untuk diri penyampai, malahan akan memberi menfaat untuk masyarakat
sampai bila-bila. Sekiranya perkara baik tersebut disebarkan pula kepada orang
lain selepas itu, ganjarannya akan terus berterusan seperti mengalirnya air
sungai sama juga seperti ganjaran harta diinfakkan untuk ke jalan Allah.
“ Dan bersegeralah kamu mengerjakan
amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang
seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa”
(A-Li Imraan 133).
Sebaik-baiknya marilah sama-sama
kita meneruskan tugas Rasulullah menyeru kepada berbuat kebaikan dan
meninggalkan kejahatan, terutama kepada diri sendiri, anak-anak, isteri dan
kaum keluarga kita, sesungguhnya kita hanya penyeru dan penyampai dan kita
tiada daya untuk memberi hidayah kerana ia hak Allah, sepertimana gagalnya
seruan Nabi Ibrahin a.s. kepada bapanya, Nabi Noh a.s kepad anaknya, Nabi Musa
a.s. kepada Firaun, Qarun dan Haman, Nabi Muhammad s.a.w kepada bapa saudara
baginda, dan sesungguhnya kita adalah dilarang berputus asa.
Mudah-mudahan dengan usaha yang
berterusan, kita dan orang-orang disekeliling kita akan tetap dalam peliharaan
Allah sampai bila-bila.
Disamping itu semasa melakukan
ibadat atau kerja-kerja kebajikan janganlah pula lupa berdoa ke hadrat Allah
s.w.t. agar kita sentiasa dipermudahkan dan dilimpahi rahmat dan kurniaanNya.
“ Dan apabila hamba-hambaKu bertanya
kepada mu (Wahai Muhammad) mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka )
sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir ( kepada mereka ); Aku perkenankan
permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu, Maka mereka hendaklah
menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu);, dan hendaklah mereka beriman
kepadaKu supaya mereka menjadi baik dan betul “ Al-Baqarah 186
“Dan Tuhan kamu berfirman” Berdoalah
kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya
orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan
masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina” Al-Mukmin 60
“Sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa
mensucikan diri” Al-Baqarah 222
“ Sesungguhnya Allah bersama
orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”
An-Nahl 128
Suka juga diselitkan di sini
janganlah kita celupar dalam berkata-kata walaupun ia tidak menyakitkan hati
sesiapa tetapi dibimbangi kalau kata-kata tersebut akan menjadi seperti doa
yang akan merugikan kita seperti contohnya, pasangan pengantin baru berkata
tidak mahu anak dahulu, nak rehat dahulu, anak-anak menyusahkan atau
sebagainya.
Jika ia diucapkan sewaktu Allah
mengkabulkan doa kan susah jadinya. Ataupun mereka yang baru keluar pusat
pengajian, tak mahu minta kerja dulu, nak rehat dulu, sudah penat nak rehat
seketika, nantilah dulu atau apa-apa sahaja ucapan yang tidak sepatutnya
diucapkan.
Sudah banyak kali kita mendengar
orang merungut dah puas berusaha tapi masih susah dapat anak, susah dapat kerja
dan sebagainya. Bagi mereka yang terlibat, eloklah muhasabah diri kalau-kalau
pernah tersasul kata walaupun tanpa niat.
Jika ada eloklah buat solat taubat
banyak-banyak minta keampunan dan minta dikasihani Allah. Ambillah peluang
istimewa di bulan Ramadan yang amat berkat, dan bulan yang dibuka pintu langit
tanpa sebarang hijab ini, semoga segala permohonan dimakbulkanNya, Insyaallah..
.
Dalam sebuah hadis Rasulullah ada
menyebut bahawa tiga kumpulan yang tidak ragu-ragu akan dimakbulkan doanya
ialah orang-orang yang dizalimi, orang yang bermusafir dan doa ibubapa terhadap
anak-anaknya.
Oleh itu mulai sekarang marilah kita berazam
untuk memperbaiki apa-apa sahaja kelemahan yang ada, memperbaiki kesempurnaan
semua ibadat kita, tuturkata dan tingkahlaku dan berusaha menyumbangkan apa-apa
sahaja yang kita terdaya demi agama Islam yang kita kasihi, mudah-mudahan nama
kita akan diseru oleh semua malaikat yang menjaga semua pintu-pintu syurga di
hari pembalasan nanti, Amin..
{ 0 komentar... Skip ke Kotak Komentar }
Tambahkan Komentar Anda